SK Seri Nasib Baik menandatangani MOU bersama SkoolBeez di bawah program CSR, disertai serahan peranti, simulasi penggunaan sistem dan latihan kepada guru serta murid.
5 Mac 2026, Batu Pahat – Satu sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), serahan item serta simulasi penggunaan sistem SkoolBeez telah diadakan bersama pihak SK Seri Nasib Baik sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SkoolBeez. Program ini melibatkan Puan Faezah binti Sadik (Guru Besar), Puan Emiliaton binti Ahmad (Guru Penolong Kanan), Puan Saintah binti Kasimin (Guru Perpustakaan dan Media), Puan Hani Fazeera binti Jaafar (Guru Akademik) serta guru-guru sekolah tersebut.
Sekolah ini mempunyai seramai 14 orang murid, dan kesemua murid telah terlibat dalam sesi ini bagi memberi pendedahan awal tentang penggunaan Kad SkoolBeez serta beberapa modul utama sistem yang menyokong pengurusan aktiviti sekolah secara lebih sistematik.
Sesi dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai fungsi utama SkoolBeez, khususnya Modul Kehadiran, Modul NILAM dan Modul Pusat Sumber Sekolah (PSS). Satu simulasi penggunaan turut dijalankan bagi menunjukkan bagaimana kad murid digunakan untuk merekod kehadiran serta aktiviti berkaitan NILAM dan penggunaan PSS.
Sesi seterusnya melibatkan penandatanganan MOU antara pihak sekolah dan pasukan SkoolBeez sebagai tanda persetujuan serta komitmen bersama dalam melaksanakan penggunaan sistem di sekolah. Kerjasama ini merangkumi penyediaan sistem, sokongan teknikal dan latihan kepada pihak sekolah.
Dalam sesi yang sama, pihak SkoolBeez turut menyerahkan peranti (device) yang akan digunakan untuk menyokong pelaksanaan sistem di sekolah, termasuk bagi tujuan pengimbasan kad murid serta pengurusan rekod kehadiran, NILAM dan PSS.
Program turut disertakan dengan sesi latihan pengguna bersama guru-guru bagi memastikan mereka memahami cara mengendalikan sistem serta memantau rekod murid melalui modul yang disediakan. Guru juga diberi peluang mencuba sendiri fungsi sistem dan mendapatkan penjelasan daripada pasukan teknikal.
Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dengan kerjasama baik daripada pihak sekolah. Diharapkan penggunaan SkoolBeez di SK Seri Nasib Baik dapat membantu meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat murid serta menyokong pelaksanaan aktiviti sekolah secara lebih teratur dan berdata.