GPM dari enam sekolah hadir ke sesi demo untuk memahami modul NILAM, PSS dan cadangan penyesuaian sistem. Isu integrasi, harga fleksibel dan capaian internet turut dibincangkan.
Skudai, 16 Oktober 2025 — Seramai enam orang Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dari beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar Johor telah menghadiri sesi Demo SkoolBeez yang diadakan di Bilik Mesyuarat Iris, UTM MTDC. Sesi ini dijalankan sebagai satu platform perkongsian secara dekat antara pasukan pembangunan SkoolBeez dan GPM yang aktif dalam pelaksanaan pusat sumber sekolah.
Antara sekolah yang terlibat termasuk SK Sri Skudai, SK Taman Impian Emas, SK Tebrau Bakar Batu, SK Taman Skudai Baru 2, SK Perumahan Tampoi 2, serta SMK Bandar Baru Uda. Objektif utama sesi ini adalah untuk memberi penerangan menyeluruh berkenaan ekosistem SkoolBeez, termasuk modul NILAM dan PSS, serta membuka ruang diskusi terhadap penambahbaikan dan penyesuaian modul mengikut keperluan sebenar di sekolah.
Sesi dimulakan dengan pengenalan ringkas mengenai fungsi utama sistem SkoolBeez, termasuk demonstrasi kemasukan data murid menggunakan Excel, fungsi perekodan bacaan NILAM, pengurusan koleksi bahan bacaan, dan penggunaan AI integration dalam analisis prestasi bacaan murid. Respons awal daripada guru-guru sangat positif terutamanya terhadap fungsi semakan bacaan AI serta kemasukan bacaan pukal oleh guru, yang sangat memudahkan perekodan dan pemantauan bacaan.
Selain modul NILAM, perbincangan turut menyentuh modul tambahan seperti Kokurikulum, AI Tutor, KoopMart dan KafeMart, serta modul-modul yang sedang dibangunkan bagi menyokong operasi harian sekolah seperti Modul Inventori dan Modul Pelawat.
Isu-isu yang dibangkitkan dalam sesi ini banyak berkait dengan keperluan penyelarasan sistem dengan keperluan sedia ada di sekolah, termasuk:
- Cadangan untuk menjadikan modul PSS sebagai satu modul tambahan (add-on) yang boleh dilanggan secara berasingan
- Cadangan kadar langganan tahunan yang berpatutan dan fleksibel, khusus bagi sekolah yang hanya menggunakan Modul PSS
- Keperluan taklimat khusus kepada pentadbir sekolah (PGB, GPK, GPM) bagi memberi kefahaman lebih mendalam kepada pihak pengurusan sebelum pelaksanaan penuh dibuat
- Kebimbangan berkaitan capaian internet stabil di sekolah, yang merupakan faktor penting dalam memastikan sistem dapat digunakan dengan lancar
Turut dibincangkan ialah proses penghasilan Kad SkoolBeez, di mana kad akan dijana secara automatik melalui sistem, dan pihak sekolah boleh memilih untuk mencetaknya sendiri atau menggunakan perkhidmatan cetakan oleh SkoolBeez, sekiranya diperlukan.
Pihak SkoolBeez turut memberi jaminan bahawa data pengguna akan dikekalkan secara berterusan sekiranya langganan diperbaharui setiap tahun. Perancangan jangka panjang seperti integrasi sistem hebahan dengan Telegram dan WhatsApp juga sedang dibangunkan bagi menyokong komunikasi pantas antara guru, murid dan ibu bapa.
Sesi ini telah membuka banyak ruang kerjasama dan penambahbaikan. Maklum balas yang diterima daripada GPM sangat bermakna bagi proses iterasi sistem SkoolBeez yang bertujuan untuk benar-benar menyokong pengurusan sekolah yang cekap, mesra pengguna dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
👉 Ingin mengetahui lebih lanjut bagaimana SkoolBeez boleh menyokong pusat sumber dan operasi sekolah anda? Hubungi kami untuk atur sesi taklimat bersama pasukan pentadbiran sekolah anda.