SJKT Mersing menunjukkan minat untuk menyertai program CSR SkoolBeez dengan cadangan penambahbaikan yang memfokuskan kepada pengurusan data dan kesejahteraan murid.
7 April 2026, Mersing - Satu sesi perbincangan telah diadakan bersama pihak pentadbir SJKT Mersing bagi membincangkan cadangan penyertaan sekolah tersebut dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SkoolBeez . Inisiatif ini bertujuan memperluaskan penggunaan sistem pengurusan sekolah secara digital, khususnya bagi sekolah kurang murid (SKM) di kawasan luar bandar, dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan data secara lebih sistematik.
Perbincangan turut merangkumi penelitian kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan skop kerjasama, peranan serta tanggungjawab kedua-dua pihak. Dalam masa yang sama, pihak SkoolBeez telah mengadakan demonstrasi ringkas sistem bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai fungsi modul-modul utama serta potensi pelaksanaannya dalam operasi harian sekolah.
Antara modul yang dicadangkan di bawah pelaksanaan program CSR ini ialah Modul NILAM, Modul Kehadiran dan Modul Pusat Sumber Sekolah (PSS), di samping modul sokongan lain seperti Jadual Waktu, Kokurikulum (Koku)dan PAJSK yang dilihat mampu memperkukuh pengurusan data serta dokumentasi sekolah secara lebih teratur.
Sepanjang sesi perbincangan, pihak sekolah turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang praktikal. Antaranya termasuk penyediaan ruang khas untuk memasukkan data kehadiran murid bagi tempoh sebelum penggunaan sistem bermula, bagi memastikan rekod tahunan lebih lengkap dan menyeluruh. Selain itu, cadangan pembangunan ciri “Peti Suara Murid” turut dikemukakan sebagai satu platform sokongan yang membolehkan murid berkongsi pandangan atau perasaan secara selamat, sekali gus membantu pihak sekolah mengenal pasti isu murid dengan lebih awal.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah menyambut baik cadangan pelaksanaan program CSR ini. Sokongan yang diberikan mencerminkan keterbukaan pihak pentadbir terhadap penggunaan teknologi dalam pengurusan sekolah, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam usaha memperkasa ekosistem digital pendidikan di sekolah.