SK Kg. Maju Jaya menyambut SkoolBeez dengan penglibatan lebih 700 murid Tahap 2. Modul NILAM dan PSS diperkenalkan, manakala guru turut menerima latihan penggunaan sistem secara praktikal bagi memulakan transformasi digital pengurusan pusat sumber.
3 Februari 2026, Gelang Patah – Pasukan SkoolBeez telah menjalankan sesi demonstrasi dan latihan pengguna ringkas di SK Kampung Maju Jaya, melibatkan penyertaan lebih 700 orang murid Tahap 2 bersama GPK Pentadbiran, Encik Mohd Fairus bin Zakaria, dan Guru Perpustakaan dan Media, Cikgu Jamizza Azzuana binti Jamaluddin.
Sesi dimulakan dengan tayangan montaj SkoolBeez dan penerangan ringkas mengenai Modul NILAM dan Modul Pusat Sumber Sekolah (PSS) dari sudut paparan aplikasi murid. Penerangan ini memberi tumpuan kepada proses pengisian bacaan NILAM serta tatacara sirkulasi pinjaman dan pemulangan buku, bagi membolehkan murid memahami aliran penggunaan sistem secara sistematik dan efisien.
Sesi diteruskan dengan kuiz interaktif yang mendapat sambutan luar biasa daripada murid. Murid-murid menunjukkan penglibatan aktif, dan sebagai galakan, token penghargaan diberikan kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan betul.
Selepas sesi murid, latihan pengguna khas untuk GPM telah dijalankan di Pusat Sumber. Pasukan SkoolBeez memberi penerangan menyeluruh mengenai fungsi-fungsi penting dalam modul PSS, termasuk:
- Pengurusan perolehan dan pelupusan bahan bacaan
- Kemasukan data bahan bacaan secara pukal melalui fail Excel
- Penjanaan dan pencetakan label QR secara automatik untuk setiap bahan bacaan
Turut dibincangkan adalah isu berkaitan murid perpindahan dari sekolah swasta yang belum mempunyai ID DELIMa dan tidak dapat mengakses sistem. SkoolBeez menjelaskan bahawa perkara ini adalah di luar kawalan sistem, dan pihak sekolah perlu menunggu pengesahan ID dari pihak KPM.