SK Ladang Tun Dr Ismail, Kluang menandatangani MoU CSR bersama SkoolBeez dan memulakan latihan pengguna serta kemas kini data secara langsung sebagai langkah awal pendigitalan pengurusan sekolah.
12 Februari 2026, Kluang – Satu sesi serahan Memorandum Persefahaman (MoU) dan latihan pengguna telah diadakan bersama pihak SK Ladang Tun Dr Ismail, Kluang di bawah inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SkoolBeez. Sesi ini dihadiri oleh Puan Rozana (Guru Besar), Puan Syafikah (Guru Perpustakaan dan Media) serta guru-guru sekolah.
Majlis dimulakan dengan serahan rasmi dan tandatangan MoU sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak dalam melaksanakan pendigitalan pengurusan sekolah melalui sistem SkoolBeez.
Seterusnya, demonstrasi ringkas diberikan kepada semua guru bagi memperkenalkan fungsi asas modul utama seperti Modul NILAM, Modul Kehadiran dan Modul Pusat Sumber Sekolah (PSS). Guru-guru turut mengikuti sesi latihan menggunakan pautan latihan yang disediakan bagi membolehkan mereka mencuba sendiri sistem secara langsung dengan bimbingan pasukan teknikal.
Sebagai langkah awal pelaksanaan, pihak sekolah telah mula mengemas kini data secara terus dalam portal sebenar (live portal) dengan bantuan pasukan SkoolBeez. Ini membolehkan penggunaan sistem dimulakan segera sementara menunggu tarikh rasmi serahan kad SkoolBeez murid dan peranti berkaitan.