28 Ogos 2026, Pasir Gudang - Satu sesi demonstrasi SkoolBeez PIBG telah diadakan bersama barisan pentadbir SMK Seri Kota Puteri 2 bagi memperkenalkan platform digital yang dibangunkan untuk memudahkan pengurusan dan pentadbiran PIBG secara lebih tersusun dan berpusat. Sesi ini melibatkan Puan Yusnita binti Yusof (Guru Penolong Kanan Pentadbiran), Puan Azawana binti Abdul Jalil (Guru Penolong Kanan HEM), Puan Nor Azlina binti Muhammad (Guru Perpustakaan dan Media), Puan Sharmimi Farhana binti Tik (Guru PSS) serta Puan Noor Azlinda binti Basir (Guru Akademik). Sesi turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang tempat kedua kategori Sekolah Menengah bagi Kuiz Bulan Kebangsaan 2026.
Sepanjang demonstrasi, pihak sekolah diperkenalkan kepada fungsi utama SkoolBeez PIBG yang merangkumi pengurusan ahli, pembayaran dan kewangan, aduan dan cadangan serta dokumentasi PIBG. Penekanan turut diberikan kepada pendigitalan proses pembayaran yuran dan sumbangan bagi memudahkan urusan ibu bapa, di samping membantu pihak PIBG menyelenggara rekod transaksi dengan lebih sistematik dan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
Sesi ini menjadi lebih bermakna apabila pihak pentadbir berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman sebenar pengurusan PIBG di sekolah. Antara cadangan yang diketengahkan ialah kaedah pembayaran yang lebih ringkas melalui imbasan QR, penyediaan ruangan nombor cek bagi pembayaran menggunakan cek serta perekodan identiti individu bagi fungsi Aduan dan Cadangan supaya perkara yang dikemukakan dapat diurus dan dibawa ke mesyuarat dengan lebih teratur.
Aspek ketelusan kewangan turut mendapat perhatian. Pihak sekolah mencadangkan supaya laporan kewangan boleh ditapis mengikut kategori perbelanjaan seperti pembangunan murid, sukan dan keperluan lain. Turut dibincangkan ialah kemungkinan membolehkan sesuatu sumbangan diagihkan mengikut tujuan atau peratusan tertentu, sekali gus memberi gambaran yang lebih jelas kepada ibu bapa dan PIBG mengenai bagaimana dana disalurkan dan digunakan.
Maklum balas yang diterima daripada SMK Seri Kota Puteri 2 memberikan input yang bernilai kepada pembangunan SkoolBeez PIBG. Pendekatan mendapatkan pandangan terus daripada pihak sekolah membolehkan platform ini terus ditambah baik berdasarkan situasi operasi sebenar, khususnya dalam aspek kemudahan pembayaran, pengurusan transaksi, tadbir urus aduan serta ketelusan kewangan.
Secara keseluruhannya, sesi ini memperlihatkan potensi SkoolBeez PIBG sebagai platform yang bukan sahaja mendigitalkan proses pentadbiran, malah mampu memperkukuh tadbir urus dan hubungan antara PIBG, sekolah serta ibu bapa. Dengan pembangunan yang berteraskan maklum balas pengguna, SkoolBeez PIBG terus diperkasa ke arah penyelesaian digital yang lebih praktikal, telus dan relevan dengan keperluan komuniti sekolah.